Social Icons

Pages

Friday 11 January 2013

ADAB TANDAS


Apa jua keperluan serta pekerjaan yang kita lakukan ia akan di kira sebagai ibadah seandainya kita mengikuti adab dan cara yang di ajarkan oleh rasulullah s.a.w..
Misalnya seseorang yang hendak tidur,
maka tidurnya itu akan dikira sebagai ibadah selagi ia mengikuti adab dan sunnah rasulullah s.a.w..
Begitu jugalah ketika hendak makan atau bekerja mencari keperluan hidup ia juga akan di kira sebagai ibadah yang mana perbuatan itu mendatangkan pahala kepada orang yang melaksanakannya serta ia tidaklah menjadi perkara yang sia-sia..

Pada artikel kali ini,
saya ingin berkongsi sedikit adab-adab tandas yang mana jika kita dapat mengikuti sunnah, 
in sya Allah ia akan dikira sebagai ibadah..

antara lain adab-adab tandas itu ialah:-

Ketika kita sedang hendak menunaikan hajat,
berdoa dulu sebelum memasuki tandas..
Memandangkan tandas tempat untuk membuang kotoran kita,
maka adalah lebih baik kita membaca doa sekurang-kurangnya tujuh langkah sebelum memasukinya
kerana di dalam doa-doa ini terdapatnya ungkapan kalimah Allah..

Doa ketika hendak masuk ke tandas itu seperti ini




1. Ketika Berada Dalam TANDAS yang perlu anda jaga ialah


i. Tidak membawa sesuatu yang tertulis padanya perkataan yang mulia seperti ayat-ayat al-Qur'an,

Ini termasuklah lafzhul jalalah, asma’ul husna,
nama nabi-nabi sekalipun dia bukan Rasul,
nama malaikat dan kesemua nama-nama mulia;
samada nama-nama yang dikhususkan untuk seseorang yang mulia ataupun nama tersebut mempunyai persamaan seperti ‘al-Aziz’;
kerana nama ini digunakan untuk asma’ul husna dan juga selainnya.
Begitu juga ‘Ahmad’ yang menunjukkan nama Nabi Muhammad s.a.w dan juga untuk selainnya.
Adapun jika nama tersebut dimaksudkan secara umum,
maka tidaklah makruh.

Ini berdasarkan kepada hadis Anas r.a,
iaitu perbuatan Rasulullah s.a.w menanggalkan cincin Baginda yang telah diukir dengan perkataan ‘Muhammad Rasul Allah’.

Maksudnya:
“Bahawa Rasulullah s.a.w apabila Baginda (hendak) masuk ke tandas Baginda menanggalkan cincin Baginda”
(Hadis riwayat at-Tirmidzi).

Sekiranya seseorang itu terlupa atau tidak sempat untuk menanggalkan cincin yang mengandungi perkataan mulia tadi, maka hendaklah digenggam dengan telapak tangan atau dimasukkan ke dalam serban dan seumpamanya (disembunyikan atau ditutup).
Perbuatan seperti ini adalah adab yang dituntut.

Adapun membawa masuk mushaf ke dalam tandas tanpa darurat,
maka hukumnya adalah HARAM.
Begitu juga dengan cincin yang ada perkataan mulia yang dipakai pada tangan kiri yang digunakan untuk beristinja’,
kerana sudah pasti akan terkena najis padanya.

ii. Jangan masuk tandas dengan kepala dan kaki yang terdedah (tidak berlapik).
Hadis mursal daripada Habib bin Shalih r.a dia berkata:

Maksudnya:
“Bahawa rasulullah s.a.w jika (hendak) masuk ke tandas,
Baginda memakai alas kaki dan (juga) menutup kepala Baginda”
(Hadis riwayat al-Baihaqi).

iii. Sunat mendahulukan kaki kiri apabila masuk ke tandas.
Sekalipun bukan dengan tujuan untuk qadha hajat seperti menyimpan atau mengambil barang,
dahulukanlah kaki kiri apabila masuk tandas.

iv. Sunat mendahulukan kaki kanan apabila keluar dari tandas.
Dahulukanlah kaki kanan apabila keluar dari tandas atau beredar dari tempat qadha hajat.

v. Sunat menyediakan air yang akan digunakan untuk beristinja’ lebih awal.
Jika tiada kemudahan paip air untuk beristinja’,
buatlah persediaan awal menyediakan air.

vi. Sunat membaca doa sebelum masuk tandas.
Sepertimana riwayat daripada Anas Radhiallahu ‘anhu bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika hendak masuk tandas, Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam berdoa:

Maksudnya: “Dengan nama Allah, Ya Allah sesungguhnya aku berlindung kepadaMu dari syaitan khubtsi (lelaki) dan syaitan khaba’its (perempuan)” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

vii. Sunat membaca doa setelah keluar dari tandas.
Antaranya riwayat daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha dan Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah mengucapkan:

Maksudnya: “Aku memohon keampunanMu.
Segala puji bagi Allah yang telah menghilangkan kesusahan daripadaku dan menjadikan aku sihat wal‘afiat”
(Hadis riwayat Ibnu Majah).

Adapun perkataan itu, maka sunat dibaca sebanyak 3 kali.

viii. Sunat mengangkat pakaian satu demi satu ketika hendak duduk qadha hajat.
Melainkan jika ditakuti terkena najis, maka memadailah mengikut kadar yang sepatutnya.
Begitu juga setelah selesai qadha hajat,
SUNAT menurunkan atau melepaskan pakaian satu demi satu sebelum sempurna dia berdiri tegak.

ix. Makruh berlengah-lengah (duduk lama-lama tanpa keperluan) dalam tandas.

x. Jangan makan dan minum dalam tandas

xi. Haram menghadap atau membelakangi kiblat ketika qadha hajat pada tempat yang tanpa ada pendinding.
Khususnya pada tempat yang luas atau terbuka dan tanpa ada pendinding (yang boleh menutup aurat),
kecuali jika tempat itu berada dalam suatu bangunan atau binaan dan memang disediakan sebagai tempat qadha hajat seperti tandas yang dibina dalam rumah atau bangunan.
Maka hukumnya adalah dibolehkan;
tidak haram dan tidak makruh dan tidak menyalahi yang utama (khilaf al-awla).

Ini dapat difahami dari hadis yang diriwayatkan oleh ‘Abdullah bin ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma dia berkata:

Maksudnya: “Aku naik ke atas rumah Hafshah untuk sesuatu hajat (pekerjaan),
lalu aku melihat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sedang qadha hajat,
iaitu Baginda (dalam keadaan) membelakangi kiblat (dan) menghadap negeri Syam”
(Hadis riwayat al-Bukhari).

Setelah qadha hajat, jika dia ingin berpindah ke tempat lain untuk beristinja’ ,
maka tiada haram atau makruh untuk dia menghadap atau membelakangi kiblat.

2. Ketika Qadha Hajat

i. Disunatkan supaya berat anggota badan dibebankan ke bahagian kiri dan mengangkat atau meringankan bahagian kanan.
kerana perut bahagian kiri menyimpan makanan sedang yang sebelah kanan menyimpan air..
Setelah dibebankan ke bahagian kiri dan mengangkat atau meringankan bahagian kanan, k
emudian merapatkan kedua-dua peha untuk memudahkan lagi qadha hajat.

ii. Makruh buang air kecil dalam keadaan berdiri kecuali ada keuzuran.
Kecuali ada keuzuran,
maka pada ketika itu hukumnya tidak makruh dan tidak menyalahi yang utama (khilaf al-awla).
Ini sebagaimana yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha:

Maksudnya:
“Barangsiapa yang mengatakan kepada kamu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam buang air kecil dalam keadaan berdiri,
maka janganlah kamu mempercayainya.
(Sesungguhnya) Baginda tidak membuang air kecil kecuali dalam keadaan duduk”
(Hadsi riwayat at-Tirmidzi) .

iii. Disunatkan supaya tidak melihat kemaluan, tidak memandang ke arah langit.
Tidak memerhatikan apa yang keluar dari dua kemaluan kecuali kerana maslahat,
tidak mengoyang-goyangkan atau memain-mainkan dengan tangan (tanpa faedah atau tujuan) dan tidak (banyak) menoleh ke kiri dan ke kanan.

iv. Ketika sedang qadha hajat, jangan berkata-kata.
Walau apapun bentuknya samada dzikir ataupun bukan; seperti perkataan biasa,
kecuali kerana darurat umpamanya memberi amaran kepada orang buta yang hampir jatuh ke dalam perigi dan seumpamanya.
Bahkan kadang-kadang dalam keadaan seperti ini dihukumkan wajib (untuk berkata-kata dan memberi amaran).

Larangan ini difahami dari satu hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Abu Sa‘id Radhiallahu ‘anhu:

Maksudnya: “Janganlah dua orang lelaki pergi (untuk) memasuki satu tandas,
(lalu) keduanya membuka aurat mereka (untuk qadha hajat sambil) berbual-bual.
Sesungguhnya Allah ‘azza wajalla benci dengan (perbuatan) demikian itu”
(Hadis riwayat Abu Daud).

Sekalipun bukan dalam keadaan qadha hajat,
maka disunatkan juga ketika berada dalam tandas agar tidak membaca sesuatu dzikir atau al-Qur'an.
Adapun kata-kata biasa sahaja, maka tiadalah makruh.

Apabila seseorang itu bersin, maka memadailah dia mengucapkan tahmid dalam hati sahaja tanpa melafazkannya.
Namun jika dia menggerak-gerakkan lidahnya tetapi tanpa mengeluarkan suara,
maka perbuatan seperti ini tidak dihukumkan MAKRUH.
Sekiranya dia menyaringkan juga suaranya untuk mengucapkan tahmid dan didengar pula oleh orang lain,
maka tidak dituntut bagi orang yang mendengar tadi untuk men"tasymit"
(Mendoakan orang yang bersin, yang telah mengucapkan tahmid, dengan kebaikan dan keberkatan dengan mengucapkan .

Manakala hukum berdehem dan berbisik-bisik pula tidak makruh,
seperti berdehem apabila pintu tandas diketuk untuk memberi makluman atau isyarat bahawa dia berada dalamnya.

Di samping itu dapat difahami daripada hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar Radhiallahu ‘anhuma bahawa menjawab salam juga tidak dituntut:

Maksudnya: “Bahawa seorang lelaki telah berjalan melintasi Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan Baginda (pada ketika itu) sedang buang air kecil,
lalu dia pun memberi salam (kepada Baginda).
Maka Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam tidak menjawab salamnya itu”
(Hadis riwayat Muslim).

v. Jangan bersiwak (membersihkan gigi) sambil qadha hajat.

vi. Jangan meludahi najis atau memandang najis.

vii. Disunatkan tidak duduk terlalu lama (tanpa keperluan).
Kerana Luqman al-Hakim pernah mengatakan bahawa perbuatan tersebut boleh mengakibatkan penyakit limpa / hati dan menyebabkan buasir (penyakit yang disebabkan urat darah pada dubur membengkak).
Maka pesannya, duduklah (untuk qadha hajat) dengan selesa kemudian (segeralah) keluar.

3. Setelah Qadha Hajat.
Setelah selesai qadha hajat, perkara yang perlu dibuat ialah beristinja’ dan hukumnya adalah WAJIB.
Maka antara adabnya ialah:-

i. Sunat beristinja’ dengan tangan kiri dan makruh menggunakan tangan kanan.

Daripada Abu Qatadah Radhiallahu ‘anhu daripada bapanya bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Jika salah seorang daripada kamu kencing,
 maka janganlah sekali-kali dia memegang zakarnya dengan tangan kanannya dan (begitu juga) janganlah dia beristinja’ dengan tangan kanannya”
(Hadis riwayat al-Bukhari).

ii. Sunat memulakan membasuh kemaluan (hadapan) kemudian barulah dubur jika beristinja‘ dengan air.

iii. Sunat menggunakan jari tengah ketika beristinja’ pada dubur.

iv. Sunat dibasuh tangan yang digunakan untuk beristinja’ dengan tanah dan seumpamanya (seperti sabun) kemudian dengan air.
Kemudian membaca doa selepas beristinja’,

Ertinya:
“Ya Allah,
sucikanlah hatiku dari sifat-sifat nifaq dan peliharakanlah kemaluanku dari perkara-perkara keji”.

Doa ketika keluar tandas dan di baca sekurang-kurangnya tujuh langkah dari tandas..




Penutup

Inilah antara adab-adab yang telah disepakati oleh para ulama dan dituntut untuk diamalkan ketika berada dalam tandas.
Sekalipun hukumnya hanyalah sunat untuk dikerjakan atau ditinggalkan,
namun adalah rugi jika diabaikan kerana adab-adab tersebut sangat mudah dan praktikal.
Manakala mereka yang mengamalkannya pula adalah orang yang beruntung kerana mendapat ganjaran pahala di samping mengikut sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Juga tidak dinafikan mungkin terdapat banyak lagi hikmah yang tersembunyi yang tidak diketahui dan tidak disebutkan di sini.

No comments:

Post a Comment